PENGUMUMAN AHLI KELUARGA

Assalamualaikum

Semua Ahli Keluarga
Hajjah Patimah

Tuan/Puan,

HARI KELUARGA HAJJAH PATIMAH KALI KE 7 PADA 31 JULAI 2010 BERTEMPAT DI DEWAN ORANG RAMAI TAMAN SRI PUTRA, BANTING

Sukacita dimaklumkan bahwa sambutan Hari Keluarga Hajjah Patimah Kali Ke 7 akan diadakan pada 31 Julai 2010 bertempat di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra Banting. Sehubungan dengan itu perbincangan pada 14 Mei 2010 telah mengambil keputusan seperti berikut :

1. Memandangkan sambutan hari keluarga Hajjah Patimah Kali Ke 6 telah diadakan pada tahun 2006 iaitu empat tahun lalu maka adalah disarankan semua ahli keluarga diwajibkan hadir pada sambutan kali ini.

2. Majlis akan bermula pada jam 8.00 pagi dan dijangka tamat jam 12.00 tengah malam.

3. Sumbangan sebanyak RM100.00 dikenakan kepada satu keluarga manakala RM30.00 bagi bujang yang telah bekerja. Walau bagaimanapun bagi keluarga yang ingin menyumbang lebih dari yang ditetapkan ia amat dialu-alukan. Bayaran boleh dibuat mulai sekarang dan tidak lewat dari 27 Julai 2010 kepada Datin Rokiah atau Puan Salinda.

4. Semasa Hari keluarga tersebut berlangsung sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam serta minuman semasa acara sukaneka akan disediakan.

5. Pada siang hari 31 Julai 2010 semua ahli keluarga dikehendaki memakai kemeja T Keluarga Hajjah Patimah yang baru (Warna ungu) Mereka yang masih belum memperolehinya bolehlah berhubung dengan Puan Norkhafizah (Mama Apit) manakala pada malamnya pakaian berkonsepkan 1 Malaysia.

6. Bagi memeriahkan sambutan kali ini acara cabutan bertuah akan diadakan. Untuk tujuan itu setiap keluarga dikehendaki menyumbang satu hadiah berupa barangan, cendera hati, hamper, makanan dan sebagainya.

7. Acara sambutan mengandungi antara lainnya senaman/tarian poco-poco, sukaneka, mencari harta karun, pertandingan mewarna/melukis, pakaian beragam kanak-kanak, pertandingan karaoke, pakaian keluarga 1 Malaysia yang menarik dan sebagainya.

8. Sebarang pertanyaan dan cadangan bolehlah dikemukakan kepada Pengerusi atau Setiausaha

Wassalam,

Hashim Jantan
Pengerusi Keluarga Hajjah Patimah

Gambar Kenangan

Friday, June 27, 2008

hari keluarga ke - 4





hari keluarga ke - 3





Atuk Jantan dan Nenek Patimah















Hajjah Patimah lahir pada tanggal 23 Mac 1928 di Singapura dan telah berkahwin dengan Jantan bin Ahad pada sekitar tahun 1942 semasa berusia 11 tahun. Gambar ini di ambil sekitar tahun 1960 di semasa tinggal di Quarters Lembaga Bandaran Kuala Langat, Sungai Manggis, Banting.



Thursday, June 26, 2008

Hajjah Patimah Binti Osman

Hajjah Patimah binti Osman telah dilahirkan di Singapura pada tahun 1928. Mendirikan rumah tangga ketika berusia sebelas tahun apabila bertemu jodoh dengan Jantan bin Ahad.

Sebaik mendapat seorang cahaya mata keluarga ini telah berhijrah ke Melaka dan seterusnya ke Banting, Selangor kerana penghidupan di Singapura tidak menjaminkan masa depan ekoran perang dunia kedua dan penaklukan Singapura dan Malaya oleh tentera Jepun.

Sepanjang penghidupan beliau suami isteri selama 27 tahun, mereka telah memperolehi seramai lima belas orang anak yang terdiri daripada 8 lelaki dan 7 perempuan. Pada tanggal 14 Mei, 1969 suami tercinta telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 49 tahun dan meninggalkan Hajjah Patimah binti Osman sebagai balu pada usia 39 tahun dengan 15 orang anak tanpa wang ringgit atau sebarang harta benda. Berkat ketabahan dan semangat kental serta tanggungjawab yang berat demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak, Hajjah Patimah telah melakukan perbagai kerja termasuk menjual kueh, nasi lemak, mengambil upah mencuci pakaian orang dan berbagai-bagai lagi kerja yang boleh mendatangkan pendapatan.

Dengan berkat usaha gigih itu kesemua anak-anak dapat dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan mempunyai kerjaya yang baik samada dengan Kerajaan di pelbagai jabatan ataupun swasta. Pada masa ini kesemua anak-anak beliau telah pun mendirikan rumah tangga, beranak dan bercucu.

Pada masa ini Hajjah Patimah binti Osman tinggal bersama anak bungsu dan menantu serta dua orang cucu di alamat:

No. 3, Lorong Merpati 10,
Taman Setia Jaya,
42700 Banting, Selangor.
Tel: 03-31872461

Di kalangan penduduk tempatan Hajjah Patimah binti Osman merupakan seorang yang disenangi, mudah bergaul dan menjadi tumpuan mereka yang memerlukan bantuan dan pertolongan perubatan tradisional terutamanya kalangan kanak-kanak. Beliau juga merupakan tempat mengadu anak-anak, menantu, cucu serta cicit yang memerlukan nasihat, bimbingan dan penyelesai masalah. Istimewanya beliau menjadi contoh masyarakat setempat kerana kejayaannya menyatukan semua anak-anak, menantu, cucu dan cicit dalam satu keluarga yang harmoni, bersatupadu, aman damai, mesra dan boleh bertolak ansur.


Logo Keluarga

Logo Keluarga
Logo ini telah dicipta oleh Yusrie Shafie pada tahun 2002 dimana perjumpaan keluarga buat julung-julung kali di adakan. Logo ini bertemakan kekuatan dan ikatan kekeluargaan di dalam keluarga Hajjah Patimah ini.

Pada asalnya, logo ini tidak mempunyai warna. akan tetapi pada penghujung tahun 2003, logo ini telah diwarnakan bagi menunjukkan simbol-simbol yang mempunyai maknanya tersendiri. Bagi yang melawati blog ini, pasti tertunggu-tunggu warna yang akan dipaparkan dan makna-maknanya sekali. Akan tetapi pihak admin sedang menunggu dari Yusrie untuk mendapatkannya. Harap bersabar.....


Hari Keluarga Ke-6


Hari Keluarga Hajjah Patimah yang ke- 6 telah diadakan pada 9 Jun 2006 sehingga 11 Jun 2006 bertempat di Rumah Peranginan Persekutuan Port Dickson.

Mengikut perancangan Hari Keluarga Hajjah Patimah yang ke - 7 pula akan diadakan pada penghujung bulan 12 tahun 2008 dan bertempat di Melaka. Lokasi asal terpaksa ditukar di atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan. Pada tahun ini, dijangka seramai 161 orang ahli keluarga hajjah Patimah akan datang. Di ikuti ahli keluarga dari Singapura yang belum diketahui

Kenduri dan Perjumpaan

Berikutan daripada persaraan Pengerusi Keluarga Hajjah Patimah, iaitu Saudara Hashim Jantan, akan diadakan kenduri doa selamat dan perjumpaan ahli-ahli keluarga. Perjumpaan dan Kenduri tersebut di adakan pada 5 Julai 2008 bersamaan hari sabtu.

Keseluruhan ahli keluarga dijemput hadir bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan. Mesyuarat ahli keluarga akan dibuat pada sebelah petang iaitu pada jam 3 petang.


Wednesday, June 25, 2008

bloq keluarga hajjah patimah

Blog keluarga Hajjah Patimah ini dibangunkan khas untuk semua ahli keluarga dan sanak saudara Hajjah Patimah binti Osman dan para pengunjung amnya dengan tujuan dapat menjalin dan mengiratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silatulrahim. Disamping itu bloq ini juga dapat dijadikan bahan rujukan salasilah keluarga, latar belakang keluarga, aktiviti-aktiviti, penambahan ahli keluarga, kejayaan, pencapaian, dan sebagainya untuk renungan kepada generasi akan datang.